Showing posts with label sirah. Show all posts
Showing posts with label sirah. Show all posts

Tuesday, June 16, 2009

Islamnya seorang Badwi...

Orang Badwi sering dikaitkan dengan sifat mereka yang degil dan outspoken. Imam Al-Qurtubi dan Ibnu kathir (dalam kitabnya Bidayah wan Nihayah) ada menceritakan tentang satu kisah bagaimana Islamnya seorang Badwi.

Pada satu hari, seorang Badwi datang berjumpa Rasulullah sollallahu'alaihiwasallam sambil membawa seekor dhob ditangannya seraya bertanya kepada baginda, "Adakah engkau Nabi?". Baginda pun mengiyakan. Badwi pun berkata, "Tidak akan ku beriman kepadamu kecuali dhob ini beriman".

Lalu baginda Rasulullah sollallahu'alaihiwasallam pun bertanya kepada dhob tersebut, "Kepada siapakah kau beriman?" Dengan izin Allah, dhob tersebut pun berkata, "Aku beriman kepada Allah yang berada disinggahsana dan 'arasy di atas, yang aku takuti azabNya dan yang aku harapkan rahmatNya." Baginda pun bertanya lagi kepada dhob itu, "Siapakah aku?". Lalu jawab dhob itu, "Aku beriman denganmu dan engkau pesuruh Allah".

Terkejut badwi melihat baginda Rasulullah sollallahu'alaihiwasallam berbicara dengan dhob tersebut seraya berkata kepada baginda Rasulullah sollallahu'alaihiwasallam, "Kau sekarang menjadi orang yang paling aku cintai yang dahulunya paling ku benci". Badwi tersebut kemudiannya memeluk Islam dan berjaya membawa lagi 1000 orang badwi untuk memeluk Islam.

Wallahu a'lam...~

Tuesday, December 9, 2008

Khutbah terakhir Nabi Muhammad Sollallahu'alaihiwasallam..

Bersempena bulan zulhijjah ini, mari kita sama2 renungkan khutbah terakhir yang disampaikn baginda Rasulullah Sollallahu'alaihiwasallam pada 9hb Zulhijjah 10H di Lembah Uranah, Gunung Arafah.


"Wahai manusia, dengarlah baik-baik apa yang hendak kukatakan. Aku tidak mengetahui apakah aku dapat bertemu lagi dengan kamu selepas ini. Oleh itu dengarlah dengan teliti kata-kataku ini dan sampaikan ia kepada orang-orang yang tidak dapat hadir di sini pada hari ini. Wahai manusia, seperti mana kamu menganggap bulan ini dan Kota ini sebagai suci, maka anggaplah jiwa dan harta setiap orang muslim sebagai amanah suci. kembalikan harta yang diamanahkan kepada kamu kepada pemiliknya yang berhak.


Janganlah kamu sakiti sesiapapun agar orang lain tidak menyakiti kamu lagi. Ingatlah bahawa sesungguhnya kamu akan menemui Tuhan kamu dan Dia pasti membuat perhitungan di atas segala amalan kamu. Allah telah mengharamkan riba, oleh itu segala urusan yang melibatkan riba adalah dibatalkan mulai sekarang. Berwaspadalah terhadap syaitan demi keselamatan agama kamu. Dia telah berputus asa untuk menyesatkan kamu dalam perkara-perkara besar, maka berjaga-jagalah supaya kamu tidak mengikutnya dalam perkara-perkara kecil.


Wahai manusia, sebagaimana kamu mempunyai hak ke atas isteri kamu mereka juga mempunyai hak di atas kamu. Sekiranya mereka menyempurnakan hak mereka ke atas kamu maka mereka juga berhak untuk diberi makan dan pakaian dalam suasana kasih sayang. Layanilah wanita-wanita kamu dengan baik, berlemah lembutlah terhadap mereka kerana sesungguhnya mereka adalah teman dan pembantu kamu yang setia. Dan hak kamu ke atas mereka ialah mereka sama sekali tidak boleh memasukkan orang yang kamu tidak sukai ke dalam rumah kamu dan dilarang melakukan zina. Wahai manusia, dengarlah kata-kataku ini, sembahlah Allah, dirikanlah sembahyang lima kali sehari, berpuasalah di bulan Ramadhan dan tunaikanlah zakat dari harta kekayaan kamu. Kerjakanlah 'Ibadah haji' sekiranya kamu mampu. Ketahuilah bahawa setiap muslimin adalah saudara kepada muslimin yang lain. Kamu semua adalah sama, tidak seorang pun yang lebih mulia dari yang lain kecuali dalam taqwa dan beramal soleh.


Ingatlah bahawa kamu akan menghadap Allah pada suatu hari nanti untuk dipertanggungjawabkan di atas segala apa yang telah kamu kerjakan. Oleh itu, awasilah agar jangan sekali-kali kamu terkeluar dari landasan kebenaran selepas ketiadaanku. Wahai manusia, tidak ada lagi Nabi atau rasul yang akan datang selepasku dan tidak akan lahir agama baru. Oleh itu wahai manusia, nilailah dengan betul dan fahamilah kata-kataku yang telah aku sampaikan kepada kamu. Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, yang sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya, nescaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya. Itulah Al-Quran dan Sunnahku.


Hendaklah orang-orang yang mendengar ucapanku, menyampaikan pula kepada orang lain. Semoga yang terakhir lebih memahami kata-kataku dari mereka yang terus mendengar dariku. Saksikanlah Ya Allah, bahawasanya telah aku sampaikan risalah Mu kepada hamba-hambaMu.."


Wallahua'lam..

Thursday, December 4, 2008

Taubat seorang penyamun

" Meninggalkan amal kerana manusia adalah riya`; Dan beramal kerana manusia pula adalah satu kesyirikan; Manakala ikhlas adalah apabila Allah meng`afiatkan engkau daripada keduanya (yakni segala sesuatu dilaksanakan kerana Allah semata-mata)."
-Kitab al-Adzkar karangan Imam Nawawi-


Demikianlah diriwayatkan kata2 sorang yang dahulunya bekas penyamun, tetapi berakhir hidupnya sebagai seorang sufi berhubung persoalan ikhlas dan riya' antara penyakit hati yang amat berbahaya bagi seorang yang berilmu. Beliau bernama Fudhail bin 'Iyadh. Mari kita telusuri sedikit ringkasan hidup Fudhail bin 'Iyadh.

Nama sebenar beliau ialah Abu 'Ali al-Fudhail bin 'Iyadh bin Mas`ud bin Bisyr at-Tamimi al-Yarbu`iy al-Khuraasaani. Beliau dilahirkan di Samarqand dan dibesarkan di Abi Warda, suatu tempat di daerah Khurasan. Beliau asalnya adalah seorang ahli maksiat yang suka merompak dan menyamun. Diceritakan bahawa beliau pada satu malam berniat untuk mengganggu seorang perempuan. Sewaktu beliau memanjat tembok kediaman perempuan tersebut, beliau mendengar suara orang membaca al-Quran ayat 16 surah al-Hadiid yang bermaksud:
"Belum sampaikah lagi masanya bagi orang-orang yang beriman, untuk khusyu' hati mereka mematuhi peringatan dan pengajaran Allah serta mematuhi kebenaran (al-Qur'an) yang diturunkan (kepada mereka)?"

Ayat tersebut benar-benar masuk meresap dan menyentak sanubari Fudhail bin 'Iyadh, membuatkannya terdiam di atas tembok tersebut, lalu tiba-tiba Fudhail bin Iyadh merasa lemah longlai segala sendinya dan tubuhnya gementar seraya beliau merintih kepada Allah:

"Oh Tuhan, telah tiba waktuku. Telah tiba waktuku."

Dia pun turun dari tembok tersebut dan berjalan pulang dengan hati bertaubat setulus-tulusnya. Pada malam itu ketika beliau tengah berlindung di balik reruntuhan bangunan, tiba-tiba saja di sana ada sekelompok orang yang sedang lalu. Sebagian mereka berkata: “Kita jalan terus,” dan sebagian yang lain berkata: “Kita jalan terus sampai pagi, karena biasanya Al-Fudhail menghadang kita di jalan ini.”

Maka beliau (Fudhail) pun berkata: “Kemudian aku merenung dan berkata: ‘Aku menjalani kemaksiatan-kemaksiatan di malam hari dan sebagian dari kaum muslimin di situ ketakutan kepadaku, dan tidaklah Allah mengirimku kepada mereka ini melainkan agar aku berhenti (dari kemaksiatan ini). Ya Allah, sungguh aku telah bertaubat kepada-Mu dan aku jadikan taubatku itu dengan tinggal di Baitul Haram’.”

Mendengar percakapan mereka itu, Fudhail lalu menampakkan dirinya sambil berkata,
“Akulah Fudhail. Tetapi sekarang, aku telah bertobat dan tidak akan menyamun lagi.”

Setelah bertaubat, beliau telah menghabiskan satu masa di Kufah, lalu mencatat menekuni ilmu agama dari ulama di negeri itu terutama sekali ilmu hadith. Dan telah meriwayat pula daripadanya sejumlah ulama, antaranya Imam asy-Syafi`i, Imam Sufyan bin 'Uyainah, Imam Yahya al-Qaththan, Imam Ibnul Mubarak dan Imam al-Humaidi. Para ulama telah ijma` atas thiqahnya dan kekuatannya untuk dijadikan hujjah serta atas kesholihan, kezuhudan dan kewarakannya.

Kemudian beliau menetap di Makkah. Beliau mencari rezeki untuk dirinya dan keluarganya dengan mengurus air di Makkah. Beliau memiliki seekor unta yang beliau gunakan untuk mengangkut air dan menjual air tersebut. Beliau tidak mahu menerima pemberian-pemberian dan juga hadiah-hadiah dari para raja dan pejabat lainnya, namun beliau pernah menerima pemberian dari Abdullah bin Al-Mubarak.

Beliau menolak pemberian-pemberian para raja disebabkan keraguan beliau terhadap kehalalannya, sedang beliau sangat memastikan agar tidak sampai memasuki perut beliau kecuali sesuatu yang halal. Beliau wafat di Makkah pada bulan Muharram tahun 187 H dan dimaqamkan di Jannatul Maula tempat dimana Saidatina Khadijah, isteri baginda Rasulullah sollallahu`alaihiwasallam juga dimaqamkan.

Demikianlah secara ringkas kisah hidup seorang sufi yang bermula hidupnya sebagai seorang yang pernah melakukan dosa dan terkenal dengan dosanya itu. Kisah hidup beliau dapat memberi pengajaran pada kita agar tidak mudah berputus asa dari rahmat Allah dan berbaik sangka denganNya, sambil mengharapkan taufiq dan hidayahNya untuk berbuat taat dan melepaskan diri dari belenggu nafsu syahwat dan kelalaian. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang..

"...dan beristighfarlah kamu kepada Allah (dengan memohon ampun), sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani."
-albaqarah:199-

Wallahua'lam..