Setiap pasangan yang mendirikan rumahtangga, semestinya mengimpikan baytul muslim yang dibina akan kekal selama mungkin, insyaAllah hingga ke syurga. Namun, adakalanya hari yang disangka panas sampai ke petang, mungkin juga disapa hujan di tengah hari. Tidak dinafikan, adakalanya hujan yang menyapa mungkin juga merupakan rahmat, adakalanya perpisahan mungkin juga merupakan cara terbaik menyelesaikan masalah yang sudah menemui jalan buntu.
Dalam usaha untuk membina bahtera rumahtangga yang kukuh, apakah persediaan yang diperlukan oleh setiap pasangan?Antara yang terpenting ialah persediaan dari segi ilmu agama dan ilmu kekeluargaan. Seringkali kita lihat di kaca tv, program-program yang membincangkan isu kekeluargaan mengambil artis atau selebriti sebagai panel untuk memberikan pendapat dan berkongsi rahsia kebahagiaan masing-masing. Secara peribadi, saya kurang bersetuju dengan pendekatan sebegini, kerana dikhuatiri kita menjadikan contoh dan mengambil pendapat tentang sesuatu dari yang bukan 'ahlinya', yang malah belum cukup menegakkan agama dalam diri maupun kehidupan seharian. Sebaiknya kita menyingkap kembali sirah baginda Rasulullah s.a.w, yang akhlak dan kehidupannya sudah terpandu, untuk kita jadikan contoh dalam setiap sisi kehidupan termasuk dalam ilmu rumahtangga.
Perkahwinan merupakan ikatan yang menyatukan dua jiwa yang berbeza, dimana kedua-dua jiwa ini telah di'adun' oleh keluarga masing-masing, berlatar belakangkan suasana yang berbeza selama sekurang-kurangnya 20 tahun (in average), yang jika difikir secara logikal, mana mungkin mampu hidup dengan aman damai. Oleh itu, pentingnya bagi pasangan yang bakal berkahwin membetulkan cara memandang perkahwinan, yang hakikatnya ianya adalah medan untuk saling melengkapi, berkhidmat, bekerjasama, belajar mematangkan dan memperbaiki diri dalam meraih redha Ilahi, bukan sekadar hiburan alternatif untuk mengelakkan maksiat semata-mata.
Mari kita berkongsi antara tips-tips ke arah mewujudkan keharmonian dalam rumahtangga:
Mari kita berkongsi antara tips-tips ke arah mewujudkan keharmonian dalam rumahtangga:
1.
Meraikan minat/kesukaan/kegembiraan pasangan
· Diriwayatkan dari An Nasaie, pada suatu hari, Saidina Abu Bakar ra ketika mendatangi
rumah anaknya Saidatina ‘Aisyah ra, terlihat ada dua orang anak perempuan sedang bermain rebana dan keduanya menyanyi. Dilihatnya baginda Rasulullah menutup
kepalanya dengan kain. Melihat kedatangan Abu Bakar ra, baginda membuka penutup
kepala seraya berkata, “Wahai Abu Bakar, biarkan sahaja. Hari ini adalah hari
raya.” Dalam riwayat yang lain pula menceritakan bahawa baginda Rasulullah s.a.w juga pernah menemani Saidatina 'Aisyah r.a menonton satu pertunjukkan walaupun baginda tidak meminatinya. Namun baginda meraikan keiginan isterinya untuk menonton sambil membiarkan isterinya meletakkan dagu dibahunya. Dengan sabar baginda meraikan keinginan itu tanpa bersungut sebaliknya cuma bertanya, "adakah kamu sudah puas" dan hanya beredar sehingga isterinya mengiyakannya. Lihat bagaimana kesabaran baginda Rasulullah s.a.w dalam melayani dan meraikan minat/kegembiraan isteri walaupun baginda tidak meminatinya. Meraikan minat pasangan amat penting untuk diterapkan dalam sesebuah perkahwinan kerana kegagalannya dikhuatiri akan memberi ruang insan lain di luar mengambil alih tanggungjawab pasangan dalam meraikannya, lalu menjadi punca kepada goyahnya sesebuah rumahtangga.
2.
Menyantuni kepelbagaian sifat pasangan:
·
Islam tidak menafikan sifat kemanusiaan, dimana
lumrah setiap manusia ada sifat yang positif dan juga negatif. Namun, bagaimana
patut seseorang itu menguruskan sifat negatif pasangan? Diriwayatkan oleh
An-Nasaie, pada suatu hari, isteri baginda Rasulullah s.a.w, Ummu Salamah mengirimkan
satu piring makanan untuk Rasulullah s.a.w dan sahabatnya. Kemudian, Saidatina
‘Aisyah r.a yang cemburu melihat makanan dari Ummu Salamah datang membawa
seketul batu ditangannya lalu memecahkannya. Dengan tersenyum, baginda
mempelawa sahabat-sahabat makan makanan yang disediakan sambil mengutip piring
yang pecah itu seraya berkata, “ jemputlah makan..ibu kalian sedang cemburu..”
Kemudian, setelah sahabat-sahabat pulang, baginda menyerahkan piring dari Ummu
Salamah yang pecah itu kepada Saidatina ‘Aisyah r.a manakala piring milik
‘Aisyah r.a pula diserahkan kepada Ummu Salamah bagi menggantikannya. Lihat
bagaimana Rasulullah, seorang pemimpin yang agung, mampu bersabar untuk menyantuni dan
cuba memahami sifat cemburu isterinya. Baginda tidak merespons secara negatif terhadap kepelbagaian sifat pasangan, sebaliknya tanpa mempedulikan egonya,
baginda mengutip sendiri pinggan yang dipecahkan dihadapan sahabat-sahabatnya sambil cuba mendamaikan keadaan.
3.
Memahami dan peka kepada perasaan pasangan:
· Diriwayatkan oleh Muslim, Rasulullah s.a.w bersabda kepada ‘Aisyah r.a, “
Sesungguhnya aku mengetahui bila kamu senang terhadapku, dan bila kamu sedang
marah terhadapku. ‘Aisyah ra berkata: Dari mana engkau mengetahuinya wahai
Rasulullah?. Baginda menjawab: Bila kamu senang kepadaku, kamu menjawab,
‘’Tidak, demi Tuhan(nya) Muhammad’’, tapi bila kamu sedang marah kepadaku, kamu
berkata, ‘’Tidak, demi Tuhan Ibrahim a.s’’. ‘Aisyah ra menjawab: “Ya, benar
begitu”.
4.
Mengawal/bersifat rasional ketika marah:
· Sifat Rasulullah yang rasional dalam mengawal
marah dapat dilihat ketika berlakunya peristiwa al-ifk ketikamana Saidatina
‘Aisyah r.a telah difitnah. Saidatina ‘Aisyah telah ditimpa sakit akibat
kesedihan difitnah oleh golongan munafik. Dalam keadaan begitu, Saidatina
‘Aisyah r.a dapat merasakan kesedihan baginda Rasulullah kerana baginda sudah
tidak menunjukkan kemesraan. Namun begitu,walaupun runsing dan sedih dengan
peristiwa yang berlaku, baginda tidak sedikit pun berlaku kasar atau memarahi
isterinya malah masih menjenguk Saidatina ‘Aisyah r.a untuk mengucapkan salam dan
bertanyakan bagaimanakah keadaannya sehinggalah peristiwa itu selesai dengan
turunnya wahyu yang membuktikan kebenaran ‘Aisyah r.a.
5. Berlemah-lembut/berhikmah dalam menegur pasangan
· Banyak kisah-kisah yang mempamerkan bagaimana baginda Rasulullah s.a.w sangat berlemah lembut dengan isteri. Diriwayatkan ketikamana Saidina Abu Bakar r.a datang ke rumah baginda Rasulullah s.aw, dilihatnya Saidatina 'Aisyah sedang meninggikan suara kepada baginda Rasulullah s.aw. Lalu Saidina Abu Bakar r.a pun terus menghampiri dan memegang anaknya kerana marah. Melihat keadaan itu, baginda Rasulullah s.a.w terus meleraikan tangan mereka dikhuatiri Saidina Abu Bakar r.a berkasar terhadap isterinya. Sejurus Saidina Abu Bakar r.a pulang dari rumah baginda Rasulullah s.a.w, baginda pun cuba menjernihkan keadaan, tanpa sedikitpun berkasar dengan Saidatina 'Aisyah, baginda hanya berkata, "'Aisyah, aku sudah meleraikan tanganmu dari ayahmu wahai 'Aisyah.." Lalu mereka pun berbaik semula. Lihat bagaimana berhikmah dan lemah-lembutnya baginda terhadap pasangan.
6. Menyebut-nyebut kebaikan untuk memotivasikan
pasangan yang dalam kesedihan, atau sebelum memberi teguran kepada pasangan
7. Menjadi pendengar
yang setia kepada pasangan.
Selain kisah-kisah di atas,
banyak lagi kisah dari rumahtangga baginda Rasulullah s.a.w yang boleh kita
teladani. Mari kita sama-sama muhasabah diri, bagaimanakah layanan kita terhadap pasangan kita (bagi yang sudah berkahwin sahaja), yang adakalanya ianya lebih istimewa terhadap insan asing yang bukan mahram dibandingkan dengan pasangan yang halal untuk kita, yang semestinya merupakan insan yang paling maklum akan baik buruk dan kelemahan kita dan berjasa untuk kita. Teladanilah bagaimana tingginya penghargaan baginda Rasulullah s.a.w terhadap isteri pertamanya Saidatina Khadijah ummul mukminin walaupun sesudah pemergian beliau.
Moga kita sama-sama berusaha untuk mendalami dan mengenal lebih dekat lagi setiap sisi kehidupan baginda Rasulullah, seperti dalam ilmu kekeluargaan, ke arah membentuk baytul muslim, yang mampu teguh menjadi medium, untuk meraih keredhaanNya. Wallahu a’lam..~